Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini memutuskan bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perlu membayar ganti rugi sebanyak RM600,000 kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung saman fitnah yang difailkan berkaitan isu nadir bumi (REE) serta dana penyelenggaraan jalan negeri (MARRIS).
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan Saifuddin membayar kos RM70,000 serta menerbitkan permohonan maaf dalam media bahasa Melayu dan Inggeris dalam tempoh 14 hari. Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee juga mengenakan perintah injunksi kekal dan akujanji agar kenyataan fitnah tidak diulangi.
Dalam penghakiman, hakim menyatakan kenyataan dibuat ketika kempen PRN Kedah pada Julai 2023 jelas merujuk kepada plaintif dan bersifat memfitnah.
“Defendan gagal membuktikan fakta substantif yang boleh mewajarkan kenyataan tersebut. Pembelaan justifikasi dan komen adil juga tidak dapat dipertahankan,” katanya.
Sanusi sebelum ini menuntut jumlah ganti rugi lebih RM5 juta, namun mahkamah hanya mengarahkan bayaran global RM600,000 selepas meneliti amalan lazim kes saman fitnah.
Baca juga:
- ‘Saya menentang mana-mana kerajaan tebuk atap’ – Dr Akmal Saleh
- Sim gesa BN Negeri Sembilan hormati objektif penubuhan Kerajaan Perpaduan
- PN Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan BN
Saifuddin akan fail rayuan

Mengulas keputusan itu, Saifuddin dalam kenyataan medianya berkata beliau menghormati keputusan mahkamah, namun menegaskan pihaknya melihat terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dibawa ke Mahkamah Rayuan.
“Setelah meneliti keputusan tersebut bersama pasukan guaman, saya berpendirian bahawa terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu. Justeru, saya telah mengarahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan sementara menunggu proses rayuan selesai.
Saifuddin menegaskan kenyataannya sebelum ini adalah berdasarkan tanggungjawab sebagai menteri dalam menyuarakan isu kepentingan awam, dan berpegang pada prinsip keterbukaan serta integriti dalam amalan demokrasi.








