'Sampai biru paha kiri kanan' - Bapa dakwa paha anak dicubit pengasuh sehingga lebam | The Reporter

‘Sampai biru paha kiri kanan’ – Bapa dakwa paha anak dicubit pengasuh sehingga lebam

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki tampil di media sosial yang anak lelakinya didera secara fizikal oleh pengasuh di sebuah taska di Putra Perdana, Puchong.

Shamsul Shamsuddin berkata, dia menyedari badan anaknya, Kasyaf, mempunyai beberapa kesan lebam di kedua-dua belah paha, disyaki dicubit oleh pengasuh.

“Detect pun bila dah hari ketiga atau keempat. Kesan lebam masih ada, cuma berkurangan.

“Sebelum itu, Kasyaf tertumpah nasi dan air lalu terkena pakaiannya. Bila saya nak tukar pakaian, baru perasan ada kesan lebam kiri dan kanan,” katanya.

Pengasuh kata mangsa kuat menangis, susah djaga

Shamsul turut berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan anaknya berada di dalam taska tersebut. Berdasarkan gambar itu, Shamsul mendakwa anaknya kelihatan pasif berbanding kebiasaannya.

“Patutlah adik duduk mencangkung je, tak main dengan kawan-kawan. Rupa-rupanya kena cubit dengan cikgu, sampai biru paha kiri dan kanan. Sebelum ini dia memang aktif, tetapi bila tanya, cikgu kata adik main ikut mood.

“Nak ada mood macam mana kalau dah kena cubit? Siap bagi alasan Kasyaf kuat menangis dan payah nak dijaga. Tak apalah dik, minggu depan pergi taska yang lain pula,” katanya.

Pemilik taska rayu jangan lapor polis?

Difahamkan pengadu telah membawa anaknya menjalani pemeriksaan di hospital dan doktor mengklasifikasi mangsa didera secara fizikal.

Pemilik taska juga dikatakan sudah bertemu dan memohon maaf dengan Shamsul di atas kejadian itu, serta merayu agar Shamsul tidak membuat laporan polis.

Jelas Shamsul, dia dimaklumkan bahawa pengasuh terbabit merupakan kakitangan baru, telah mendirikan rumah tangga dan sedang hamil. Apa yang berlaku berkemungkinan berpunca dari emosinya yang tidak terkawal.

“Disebabkan kasihan terhadap pemilik taska dan pelaku yang baru mengandung, saya cuma minta yuran bulan ini dikembalikan dan cikgu itu diberi amaran.

“Saya harap perkara ini menjadi pengajaran untuk cikgu-cikgu taska apabila menguruskan anak asuhan. Budak itu baru nak kenal dunia, nak main dengan kawan-kawan. Sian tengok gambar dia macam kena buli,” ujarnya.

Beri alasan CCTV rosak disambar petir

Dalam perkembangan terkini, Shamsul telah berjumpa dengan pemilik taska untuk melihat rakaman video kamera litar tertutup di premis tersebut. Malangnya pemilik memberi alasan CCTV rosak selepas disambar petir dan hanya dapat menonton video ‘live’ sahaja.

Pengadu yang dipercayai tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi, menegaskan dia akan tampil membuat laporan polis.

Related Posts