Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Saksi utama kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang mendakwa menyerahkan sendiri wang tunai berjumlah RM2 juta kepada bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Ahli perniagaan, Datuk Seri G Gnanaraja, 44, memberitahu, wang itu diserahkan dalam dua beg hitam yang masing-masing mengandungi RM1 juta. Beliau berkata, beg berkenaan diterimanya daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), di Hotel Eastin Petaling Jaya pada 18 Ogos 2017.
“Selepas menerima dua beg hitam itu, saya menyimpannya di bilik kerja. Pada 20 Ogos 2017, saya menyerahkan satu beg kepada Lim semasa menghantarnya ke Publika, Hartamas. Lim kemudian mengambil beg tersebut sebelum menepuk bahu Zarul Ahmad yang berada di tempat duduk pemandu, seolah-olah tanda terima kasih,” katanya.
Gnanaraja yang merupakan saksi pendakwaan ke-37 berkata, baki satu lagi beg diserahkan kepada Lim pada 29 Ogos 2017 sekitar jam 2 hingga 3 pagi di kediamannya selepas dikeluarkan dari bonet kereta Bentley miliknya.
“Guan Eng menyambut beg itu dengan tangan kanan sambil tersenyum, kemudian meletakkannya di atas riba sebelum beredar bersama Zarul Ahmad,” jelasnya.
Menurutnya lagi, sebelum penyerahan wang tersebut, satu perbincangan sulit diadakan di rumahnya mengenai perjalanan, penerimaan serta pengeluaran kewangan projek bernilai RM6.3 bilion itu.
Baca juga:
- Sanusi tegas tolak Langkawi jadi Wilayah Persekutuan
- Gara-Gara hutang, pelajar 13 Tahun cedera dipukul sekumpulan remaja di Pekan
- ‘Cadangan kembalikan Dara, Amoi, Kelat wajar dipertimbangkan dengan serius’ – Arthur
Dalam perbincangan itu, Guan Eng menyatakan 10 peratus daripada keuntungan projek terowong adalah untuk dirinya, dan Zarul Ahmad bersetuju dengan permintaan itu.
Mengikut pertuduhan, Guan Eng, 64, ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong bernilai lebih RM6.3 bilion antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Beliau turut berdepan tuduhan meminta 10 peratus daripada keuntungan projek berkenaan sebagai balasan membantu syarikat berkenaan, selain dua lagi pertuduhan melibatkan pelupusan tanah kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta kepada pemaju berkaitan projek itu pada 2015 dan 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.
Sumber: Sinar Harian








