Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
“Kelip-kelip kusangka api,kalau api mana putungnya…” antara rangkap pantun yang memberi makna pada hubungan persahabatan dan persaudaraan yang sudah lama terpisah.
Namun bagaimana pula dengan rantaian dan populasi kelip-kelip yang dilihat semakin ‘gelap’ angkara pembangunan?
Terdapat lebih daripada 2,000 spesies kelip-kelip yang ditemui di setiap benua kecuali Antartika.
Melihat situasi ini, Saintis Kelip-Kelip, Dr Wan Faridah Akmal yang juga Pensyarah Kanan Biodiversiti dan Pemuliharaan di Universiti Monash Malaysia dalam satu pengucapan awam di dalam acara TED Women 2023 di Atlanta Georgia menegaskan dia dan pasukannya berusaha untuk memulihara spesis yang semakin terancam ini.

“Ini adalah cahaya harapan. Kelip-kelip memerlukan bantuan dan pertolongan anda semua sebelum mereka berhenti berkelip,” katanya.
Tepukan gemuruh penonton
Kata-kata beliau disambut dengan tepukan gemuruh daripada penonton dalam acara tersebut.
Dr Wan yang juga merupakan pengerusi bersama di International Union for Conservation of Nature (IUCN) Firefly Specialist Group juga membawa elemen melayu dalam pengucapannya. Beliau memetik peribahasa melayu ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’ yang merujuk kepada usaha yang berterusan dibuat oleh beliau dalam memulihara spesies ini.
Menjadi jemputan dalam acara besar dan popular ini, beliau menyifatkan satu penghargaan besar buat dirinya dalam menyampaikan mesej dan ilmu kepada masyarakat.

Kini, Dr Wan sedang membina pangkalan data komprehensif bagi 2,000 spesies kelip-kelip. Beliau dan pasukannya menilai status pemuliharaan kelip-kelip di Asia Tenggara dan kawasan lain. Selain itu juga, beliau menilai status pemuliharaan kelip-kelip di dalam Red Data Book edisi ke-3 Singapura.
Menyingkap pengalaman beliau, wanita yang berasal dari Dungun. Terengganu ini sebelumnya pernah bekerja sebagai Penyelidik (Felow) di Universiti Kebangsaan Singapura.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kanan Program Pemuliharaan (Daratan) Semenanjung Malaysia bersama WWF Malaysia. Beliau ditugaskan untuk memimpin sebuah pasukan untuk memulihara kawasan di Tanah Bencah, Setiu, Terengganu.








