Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini tular video menunjukkan seorang wanita nekad memecahkan cermin keretanya sendiri akibat tidak berpuas hati dengan tindakan ejen penarik kereta yang mahu menyita kenderaannya.
Difahamkan, ejen terbabit hanya mengikut arahan susulan pemilik kenderaan itu gagal melunaskan bayaran bulanan. Insiden ini telah mencetuskan pelbagai reaksi netizen di media sosial.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Vijaya Rao A/L Samachulu berkata, kejadian itu berlaku di Meru, Klang.
“Pada 22 Oktober, kira-kira jam 11.33 malam, pihak polis telah menerima satu laporan dari seorang perempuan Melayu berkenaan dengan suspek tiga lelaki warga tempatan yang menaiki sebuah lori towing, telah mengangkat pagar bagi tujuan untuk menarik kereta milik pengadu yang mempunyai tunggakan bayaran sewa beli kereta.
“Hasil siasatan awal mendapati, kereta tersebut telah tertunggak bayaran bulanan lebih kurang enam bulan. Walau bagaimanapun, suspek gagal menunjukkan surat tarik kereta daripada bank kepada pengadu, serta telah menceroboh masuk ke dalam kawasan parking di hadapan rumah dengan cara mengangkat pintu pagar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.
Pihak polis menyeru supaya tiada sebarang spekulasi mengelirukan dibuat oleh mana-mana pihak.
ACP Vijaya Rao turut menegaskan bahawa kes ini masih dalam siasatan dan menyeru orang ramai untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa menyelesaikan kes ini dengan telus.








