Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kediaman strata seperti pangsapuri dan kondominium tertakluk kepada peraturan khusus yang ditetapkan oleh pihak pengurusan dan undang-undang strata. Sebarang pengubahsuaian yang melibatkan bahagian luar bangunan, termasuk pemasangan grill dan awning, biasanya memerlukan kelulusan rasmi bagi memastikan keselamatan serta keseragaman struktur bangunan terjaga.
Namun, sebuah video yang dimuat naik di TikTok mencetuskan perdebatan apabila menunjukkan pemasangan grill balkoni beserta awning metal deck di sebuah unit di Ascadia Lake View Apartments, Ampang KL. Rakaman tersebut memperlihatkan pekerja memasang grill besi berkeping dengan jaring dawai, yang menutup sepenuhnya bahagian balkoni unit berkenaan.
Tindakan itu segera mengundang reaksi netizen, dengan ramai mempersoalkan sama ada pemasangan tersebut mendapat kelulusan daripada pihak pengurusan dan pihak berkuasa tempatan.
“Rumah strata ni, mana boleh buat macam ni,” komen seorang pengguna.
Seorang pengguna lain menambah, “Yes, semua pun buat je. Tapi jangan ada apa-apa kebakaran besar yang melibatkan nyawa.”
Komen ini mendapat perhatian netizen lain yang menyatakan bahawa sikap tidak mengendahkan peraturan hanya akan mengundang risiko kepada semua penghuni.
Dalam masa yang sama, ada juga yang mempertikaikan dakwaan pemilik bahawa pemasangan ini telah mendapat kelulusan. “Approved by MO? Bohonglah! Kalau betul, MO tu bod*h la,” tulis seorang netizen secara sinis.
Isu pengubahsuaian di rumah strata bukan perkara baharu, malah sering menjadi pertikaian antara pemilik unit dan pihak pengurusan. Walaupun ramai penghuni ingin menambah baik kediaman mereka, sebarang perubahan perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan bagi mengelakkan risiko keselamatan serta tindakan undang-undang.








