Rosmah Mansor saman Harith Iskander, dakwa dihina dalam persembahan komedi | The Reporter

Rosmah Mansor saman Harith Iskander, dakwa dihina dalam persembahan komedi

Harith Iskander berdepan saman berkaitan dakwaan penghinaan dalam persembahan komedi.
Harith Iskander. Gambar: Facebook Harith Iskander.

Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman terhadap pelakon dan pelawak Harith Iskander di Mahkamah Tinggi selepas mendakwa dirinya dihina menerusi satu persembahan komedi pada Januari lalu. Isteri bekas Perdana Menteri itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, selain perintah injunksi serta permohonan maaf tanpa syarat daripada defendan.

Memetik laporan Berita Harian, Rosmah yang memfailkan saman pada 9 Jun lalu menerusi Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak mendakwa dalam persembahan “Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour” di Hotel Swiss-Garden, Melaka, Harith memaparkan imej makhluk halus sebelum menunjukkan gambarnya kepada penonton.

Menurut pernyataan tuntutan, sebelum memaparkan gambar itu, Harith didakwa memberitahu penonton bahawa seseorang yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap akan “melihat sesuatu yang menakutkan”. Rosmah mendakwa tindakan itu jelas menggambarkan dirinya sebagai sesuatu yang menakutkan, selain merupakan penghinaan terhadap fizikal (body shaming) yang mencemarkan maruah dan reputasinya.

Beliau turut mendakwa dua rakaman persembahan itu dimuat naik oleh pengguna TikTok dikenali sebagai @mayychan0303 dan meraih ratusan ribu tontonan. Katanya, kenyataan itu menjejaskan reputasinya sebagai figura awam, isteri bekas Perdana Menteri serta penaung kepada pelbagai badan amal dan persatuan.

Baca juga:

Dalam pada itu, Harith dalam pernyataan pembelaannya menafikan paparan berkenaan membawa maksud Rosmah ialah makhluk seram, sesuatu yang menakutkan atau mempunyai unsur fitnah.

Beliau turut menegaskan rakaman yang dimuat naik di TikTok dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuannya serta tidak memaparkan konteks penuh persembahan komedi tersebut.

Related Posts