Ronald Kiandee bantah tindakan papar nama Ahli Parlimen 'ponteng', dianggap memalukan & beri imej buruk di mata rakyat - The Reporter

Ronald Kiandee bantah tindakan papar nama Ahli Parlimen ‘ponteng’, dianggap memalukan & beri imej buruk di mata rakyat

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Baru-baru ini media melaporkan ada cadangan agar nama-nama ahli Parlimen yang didapati dengan sengaja tidak hadir atau ‘ponteng’ dalam sidang Dewan Rakyat dipaparkan di laman web Dewan Rakyat supaya pengundi kawasan Parlimen mereka maklum perkara tersebut.

Bagaimanapun, cadangan yang diutarakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul itu dibantah oleh Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Beliau yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, cadangan tersebut merupakan satu tindakan yang memalukan dan tidak munasabah kerana akan menyebabkan imej dan reputasi ahli Parlimen buruk pada mata rakyat.

Ahli Parlimen tak hadir atas tuntutan tugasan lain

Menurutnya, kegagalan wakil rakyat termasuk menteri dan timbalan untuk tidak hadir ke persidangan Dewan Rakyat bukan disengajakan sebaliknya disebabkan tuntutan tugasan lain.

“Hangat sekarang ini isu ahli Parlimen ponteng Parlimen. Lebih hangat apabila Speaker sendiri mengeluarkan kenyataan di luar dari dewan (Dewan Rakyat) bahawa Speaker akan melihat untuk memuktamadkan cadangan kepada ahli Parlimen.

“Antaranya potong gaji dan meletakkan nama di laman web rasmi Parlimen, ini sungguh memalukan. Apa sebenarnya kehendak Parlimen dalam isu ini?” soal beliau.

Mengulas lanjut, Ronald memaklumkan, isu kehadiran perlu dibuat dan dibincangkan secara terperinci dan tidak boleh dilaksana secara bersendirian oleh Speaker.
Tambah beliau, masalah kehadiran merupakan isu lama yang berlaku sejak dahulu lagi.

“Isu kehadiran ini berlaku sejak saya masuk Parlimen 23 tahun dahulu tetapi ia tidak diperbesarkan kerana tiada menteri yang boleh hadir persidangan setiap masa.

“Mereka ada tugasan di luar sana. Mahu lihat kesemua 222 ahli dewan? Ini tidak akan berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Ronald berkata, beliau setuju untuk ahli Parlimen hadir ke persidangan.

Johari tiada niat mahu memalukan Ahli Parlimen

Sementara itu, Johari turut memberi maklum balas terhadap isu berkenaan dan menafikan bahawa cadangan itu berniat untuk memalukan ahli Parlimen.

Beliau menjelaskan, cadangan memaparkan senarai nama wakil rakyat yang tidak hadir persidangan masih belum dimuktamadkan

​​“Perkataan memalukan itu salah, saya tidak pernah berniat untuk memalukan. Kedua, ahli Parlimen ada komitmen-komitmen lain tidak semestinya mereka pasti ada di sini, baca laporan itu betul-betul.

“Namun begitu, apa sahaja cadangan akan dibawa ke jawatankuasa peraturan mesyuarat saya jelas dengan perkara berkenaan. Saya tidak ada kuasa berdebat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!