'Roadtax, insurans tamat 6 Feb 2023' - JPJ sahkan motosikal rider Food Panda disita kerana LKM tamat tempoh & elak terbabit kemalangan | The Reporter

‘Roadtax, insurans tamat 6 Feb 2023’ – JPJ sahkan motosikal rider Food Panda disita kerana LKM tamat tempoh & elak terbabit kemalangan

Gambar viral di media sosial.

Tular di media sosial seorang penghantar makanan Food Panda berjalan kaki sambil menggalas beg makanan selepas motosikalnya disita oleh JPJ mengundang rasa sedih dan simpati netizen.

Menerusi satu perkongsian tular itu, kelihatan beberapa pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menjalankan operasi. Turut kelihatan, beberapa buah motosikal yang telah ditahan oleh pihak JPJ.

Namun begitu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menerusi kenyataan menjelaskan, tindakan tersebut diambil selepas mendapati pekerja Food Panda tersebut melakukan kesalahan menunggang motosikal semasa Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.

“Pada 12 September 2023, Unit Operasi JPJ Negeri Sembilan telah mengadakan Operasi Statik di Jalan Persiaran Negeri, Nilai bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.

“Sepanjang penguatkuasaan tersebut, pelbagai kesalahan telah dikesan dan diambil tindakan termasuk juga motosikal yang ditunggang oleh pekerja Food Panda tersebut yang melakukan kesalahan menunggang motosikal semasa Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.

“Tindakan menyita motosikal dilakukan atas tujuan menjaga keselamatan penunggang tersebut dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans,” kata kenyataan berkenaan.

Tambah kenyataan tersebut, JPJ sentiasa memandang serius terhadap kesalahan-kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh mereka yang sentiasa mengabaikan undang-undang atau peraturan yang ditetapkan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain.

Dalam pada sama menerusi satu komen di Facebook milik Bujang Kartun, JPJ turut menyatakan cukai jalan dan insurans bagi kenderaan tersebut telah tamat pada 6 Februari 2023.

Sumber: Utusan Malaysia, Mohd Redzuan Manap

Related Posts