Golongan kaya jangan pandang remeh nilai bantuan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan golongan berpendapatan tinggi agar tidak mempersendakan nilai bantuan RM100 yang bakal diberikan kepada setiap warganegara dewasa melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Walaupun jumlahnya mungkin tampak kecil bagi mereka yang berpendapatan RM20,000 hingga RM40,000 sebulan, Anwar menegaskan bantuan itu membawa makna besar kepada rakyat miskin di luar bandar.
“(Semua kritik) RM100 saja, (tapi) kamu gaji RM40,000, RM20,000 sebulan. RM100 itu memang tak ada apa-apa bagi kamu, tapi kalau pergi ke kampung, ia tetap ada manfaat,” katanya dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan hari ini.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
RM400 seisi keluarga, tambahan RM2 bilion untuk rakyat
Anwar turut menjelaskan, sebuah keluarga miskin dengan empat orang dewasa boleh menerima sehingga RM400 dan jumlah itu boleh meningkat kepada RM700 jika digabungkan dengan bantuan sedia ada.
Beliau turut mendedahkan peruntukan bantuan kerajaan ditambah daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion, demi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.
Dalam ucapannya, Anwar turut membidas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin yang membantah penarikan subsidi petrol kepada warga asing. Katanya, subsidi itu ditarik kerana harga minyak di negara asal mereka jauh lebih tinggi.
“Kita tarik subsidi itu kepada warga asing, itu pun salah juga?” soalnya.
Antara inisiatif MADANI yang diumumkan termasuk penangguhan kenaikan tol 10 lebuh raya utama dan harga RON95 yang kini ditetapkan pada RM1.99 seliter. Kesemuanya langkah yang diambil adalah bagi meringankan beban rakyat marhaen.
Sumber: Harian Metro








