Pendakwah Ridhuan Tee Abdullah mengajak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet, untuk berdebat berhubung isu perpaduan dan asas hidup bernegara.
Pelawaan itu dibuat menerusi hantaran di media sosial susulan kenyataan Altimet yang menegur Ridhuan Tee berhubung isu sepanduk sambutan Hungry Ghost Festival yang dipersoalkan kerana tidak menggunakan Bahasa Melayu.
“Jika saudara benar-benar wakil rakyat, dewan MPAJ banyak, mari kita berdebat atau berbahas tentang perpaduan dan asas hidup bernegara,” katanya.

Sebelum ini, Altimet menjelaskan bahawa Hungry Ghost Festival atau Perayaan Hantu Lapar merupakan sebahagian daripada tradisi dan kebudayaan masyarakat Tionghoa yang diamalkan sejak turun-temurun.
Menurut Altimet, perayaan berkenaan berkait dengan nilai mengenang leluhur, menghargai jasa generasi terdahulu serta melakukan kebajikan dan persembahan kepada roh yang dipercayai tidak mempunyai keluarga atau waris.
Beliau turut berkata, meskipun namanya diterjemahkan secara literal sebagai ‘Hungry Ghost’, tradisi itu membawa nilai belas ihsan, keikhlasan, kemurahan hati dan mengingati mereka yang telah meninggal dunia.
Baca juga:
- Polis Hat Yai nafi dakwaan layanan tidak adil terhadap penunggang Malaysia
- Ridhuan Tee pelawa Altimet berdebat isu perpaduan
- Murid SK Air Hitam Labu antara tiga beranak maut dirempuh lori JIM
Mengenai penggunaan bahasa pada sepanduk, Altimet berkata konteks dan tujuan sesuatu bahan komunikasi perlu diambil kira, khususnya jika ia ditujukan kepada komuniti tertentu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa bahan promosi yang dipasang di ruang awam tetap perlu mematuhi garis panduan penggunaan Bahasa Melayu sekiranya tertakluk kepada peraturan pihak berkuasa tempatan.
Altimet berkata, beliau selaku ADUN Lembah Jaya telah meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan sekiranya terdapat syarat yang tidak dipenuhi dan perkara itu telah dilaksanakan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan supaya perbezaan budaya tidak dijadikan punca konflik perkauman, sebaliknya sebarang ketidakpatuhan terhadap peraturan boleh diperbetulkan melalui saluran yang sewajarnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan menghormati Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, selain memberi ruang kepada setiap masyarakat untuk mengamalkan adat, budaya dan perayaan masing-masing.
Altimet berkata Malaysia memerlukan lebih ramai pihak yang membantu menyelesaikan masalah, bukannya membesarkan perbezaan demi mendapatkan perhatian dan trafik media sosial.
“Jangan kerana satu sepanduk, kita rosakkan keharmonian yang dibina masyarakat Ampang yang telah kukuh puluhan tahun,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan tidak seharusnya dijadikan senjata, sebaliknya masyarakat perlu saling menghormati dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.









