Rider P-Hailing meninggal dunia akibat keletihan bekerja, jantung tersumbat 75% | The Reporter

Rider P-Hailing meninggal dunia akibat keletihan bekerja, jantung tersumbat 75%

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang penghantar p-hailing, Ahmad Farhan Othman, 32, dilaporkan meninggal dunia pada 2 Oktober lalu semasa sedang bekerja, meninggalkan isteri, Nursuziliana Mohd Johari, 32, serta tiga anak kecil.

Rutin harian padat

Menurut Nursuziliana, suaminya tidak pernah menghidap sebarang penyakit serius. Namun, sejak kebelakangan ini, arwah sering mengadu keletihan akibat beban kerjanya yang berat.

“Setiap pagi, dia bangun seawal jam 7.30 pagi untuk menyiapkan anak-anak sebelum memulakan kerja sebagai rider Grab hingga jam 10 pagi. Selepas itu, dia bekerja sebagai pemandu van, mengangkat dan menghantar barang hingga jam 5 petang, dan kemudian menyambung semula sebagai rider Grab hingga malam,” katanya.

Ahmad Farhan mula bekerja sebagai pemandu van pada awal September, namun tetap menjalankan tugas sebagai penghantar makanan bagi menampung keperluan keluarganya.

Keputusan bedah siasat memaklumkan, 75 peratus jantung Ahmad Farhan tersumbat, dipercayai akibat keletihan melampau.

Suami & bapa yang bertanggungjawab

“Dia seorang yang rajin, peramah dan disenangi ramai,” kata Nursuziliana, yang menggambarkan arwah suaminya sebagai seorang bapa dan suami yang bertanggungjawab.

Sebelum meninggal dunia, Ahmad Farhan tidak meninggalkan sebarang pesanan kecuali nasihat kepada anak-anaknya supaya menjaga antara satu sama lain. Arwah juga sangat rapat dengan anak kedua mereka yang mempunyai persamaan wajah dengannya.

Kehilangan mengejut

Nursuziliana meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan kejadian itu, apatah lagi suaminya masih muda dan kelihatan sihat. Kini, tanggungjawab menjaga anak-anak jatuh sepenuhnya di bahunya.

Terdahulu, satu video tular menunjukkan Ahmad Farhan menerima sekeping wang RM50 daripada seorang pempengaruh yang menjalankan eksperimen sosial di sebuah pusat beli-belah tahun lalu. Dalam video tersebut, Ahmad Farhan kelihatan terharu dengan pemberian tersebut.

Video lama itu kini kembali tular, dipercayai dikongsi semula oleh kenalan yang merindui arwah Ahmad Farhan.

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga Ahmad Farhan, sumbangan boleh dibuat melalui akaun 7629092653 (CIMB) atas nama Nursuziliana Mohd Johari.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts