Seeorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan tersangkut pada buaian kanak-kanak di taman permainan di Pasar Bidor hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, Tarmizi Rasid berkata, pihaknya terdahulu menerima panggilan orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 8.55 pagi.
Bertindak di atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari BBP Bidor dikerahkan ke lokasi kejadian. Tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati seorang remaja perempuan tersangkut pada buaian di taman permainan itu.
Bomba kemudian menggunakan alatan menyelamat untuk memotong alat permainan tersebut yang mengambil masa kira-kira lima minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa daripada buaian besi itu.
Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi bomba ditamatkan pada jam 9.30 pagi.
Orang ramai khususnya golongan dewasa dinasihatkan tidak menyalahgunakan buaian yang disediakan di taman permainan kanak-kanak. Ini kerana saiz permainan tersebut hanya sesuai digunakan oleh kanak-kanak.
Sumber: Harian Metro