Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Trend remaja yang gemar mempamerkan gaya hidup mewah di media sosial kini semakin menjadi-jadi, walaupun ramai sebenarnya tidak mampu menanggung kos sebenar gaya tersebut. Ada yang sanggup meminjam wang atau barangan semata-mata untuk menunjukkan imej kaya di platform digital.
Terbaru, seorang pengguna Threads dengan nama Aqeelahumaira__, menarik perhatian ramai apabila dia meminta bantuan untuk menyewa iPhone 16 selama tiga hari.
“Korang, bantu saya cari anyone yang buat sewa iPhone 16 series, any colour tak kesah pun. Saya nak rent untuk 3 hari. Reason untuk flexing sahaja. Tolong repost supaya saya boleh rent iPhone 16 series,” tulisnya yang mengakui mempunyai iPhone 15 Pro, namun belum berkemampuan untuk membeli iPhone 16.
Tindakannya itu mengundang pelbagai komen pedas daripada pengguna media sosial lain. Salah seorang netizen menyindir dengan komen, “Kalau miskin tu, miskin je la”.
Ada juga yang mengkritik pemikirannya sebagai tidak matang dan menyifatkan perbuatannya itu tidak masuk akal
“Dah ada 15 Pro, nak sewa iPhone 16 semata-mata nak flex kat kawan saja-saja. Nak show off untuk apa? Macam bengap je pemikiran kau ni,” tambah netizen lain.
Fenomena ini mencerminkan tekanan sosial yang semakin ketara dalam kalangan remaja untuk menunjukkan kehidupan sempurna, walaupun terpaksa berbelanja di luar kemampuan. Ia turut mencetuskan perbincangan mengenai kepentingan kesedaran diri dan keutamaan dalam hidup yang sebenar. – The Reporter