Remaja maut terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon dalam bas | The Reporter

Remaja maut terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon dalam bas

Remaja maut renjatan elektrik
Gambar tular di media sosial

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Malang tak berbau, seorang remaja lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbit di soket sebuah bas ekspres dalam kejadian di Terminal Bas Penang Sentral, kelmarin.

Kejadian itu berlaku sekitar jam 7.40 malam dan melibatkan mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, yang sedang menaiki bas dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, kejadian itu disedari oleh penumpang lain sebelum pemandu bas membuat lapor polis.

Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat kesan melecur pada jari kiri mangsa, dipercayai akibat renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbit. Kabel pengecas juga kelihatan cair dan peranti itu berada dalam keadaan panas.

Pemandu bas memaklumkan, mangsa menaiki bas sekitar jam 6 petang untuk ke KL Sentral. Namun, kira-kira 10 minit kemudian, seorang penumpang memberitahu pemandu, mangsa menjerit sebelum ditemui dalam keadaan mulut berbuih.

Pemandu kemudian menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan, tetapi pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Bedah siasat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengesahkan kematian remaja itu berpunca daripada renjatan elektrik, tanpa sebarang kecederaan lain.

Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Harian Metro

Related Posts