Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun meninggal dunia selepas doktor mengeluarkan 56 objek dari perutnya, termasuk bateri, rantai, serpihan bilah cukur, dan skru.
Aditya Sharma menjalani pembedahan kompleks selama lima jam untuk mengeluarkan kesemua objek tersebut, namun tidak berjaya diselamatkan. Dalam operasi tersebut, objek logam seberat 350 gram dikeluarkan, namun jangkitan dilaporkan merebak ke ususnya hingga menyebabkan ia pecah.
Doktor di Hospital Safdarjung, Delhi berkata, kematian Aditya dari Hathras, Uttar Pradesh perlu disiasat.
Menurut mereka, masalah kesihatan remaja itu bermula pada 13 Oktober apabila dia mengalami sesak nafas dan ketidakselesaan.
Laporan menyatakan Aditya mengadu sakit perut yang teruk dan sukar bernafas, memaksa keluarganya membawa Aditya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Pada mulanya, dia dibawa ke hospital tempatan di Hathras sebelum dipindahkan ke sebuah hospital di Jaipur untuk rawatan lanjut. Selepas menerima rawatan sementara, dia dibenarkan pulang.
Pada 26 Oktober, Aditya menjalani imbasan ultrabunyi di hospital Aligarh dan kira-kira 19 objek asing dikesan dalam tubuhnya. Dia kemudian dipindahkan untuk menjalani pembedahan, di mana doktor menemui lebih banyak objek daripada yang dijangka.
Aditya meninggal dunia pada 28 Oktober, dua minggu selepas gejala pertama kali muncul.
Keluarga Aditya dan pihak perubatan masih bingung bagaimana objek-objek tersebut berada dalam perutnya. Tiada sebarang tanda kecederaan pada mulut atau tekaknya, menjadikan persoalan sama ada Aditya menelan objek-objek tersebut dengan sengaja atau tidak masih belum terjawab. – Agensi








