Remaja maut bertembung dengan kenderaan polis - The Reporter

Remaja maut bertembung dengan kenderaan polis

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Beberapa rakaman video tular memaparkan insiden kemalangan membabitkan sebuah kenderaan polis dan motosikal di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal, Melaka.

Insiden berkenaan turut menyebabkan penunggang motosikal yang bekerja di kilang perabot cedera parah di bahagian kaki dan badan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat kecederaan dalaman yang serius, selain patah kaki dan paha.

Siasatan mendapati kenderaan polis yang dipandu oleh anggota dari Balai Polis Durian Tinggal telah ke lokasi kejadian setelah menerima aduan awam berkaitan bunyi bising serta terdapat aktiviti lumba haram di kawasan itu.

Katanya, kenderaan dipandu anggota berusia 37 tahun telah menyalakan lampu mata arah serta membunyikan siren amaran.

“Menyedari kehadiran polis, kesemua individu yang sedang berkumpul di tepi jalan tersebut telah bertindak melarikan diri dengan menggunakan motosikal masing-masing.

“Ketika kenderaan polis sedang cuba membelok ke arah kanan jalan, sebuah motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan telah melanggar kenderaan polis berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Siasatan secara telus

Sementara itu, polis memberi jaminan siasatan secara telus dan adil berhubung kemalangan maut membabitkan seorang remaja dengan kenderaan polis di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal, pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Suprintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan secara menyeluruh akan dilakukan dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota serta pegawai sekiranya dikesan melakukan sebarang kesalahan dalam insiden itu.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!