Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang remaja lelaki dari United Kingdom terpaksa menerima kenyataan selepas mengalami kerosakan paru-paru yang serius akibat penggunaan vape secara berlebihan.
Jayden Richardson, 17, mula menggunakan vape sejak berusia 12 tahun untuk menyesuaikan diri dengan rakan sebaya. Namun, tabiat itu memberi kesan buruk kepada kesihatannya apabila dia mengalami batuk berdarah ketika bercuti di Turki pada Ogos tahun lalu.
Batuk berdarah selepas sedut vape di pagi hari
Jayden berkata, malam sebelum kejadian dia berasa sedikit sakit dada tetapi tidak menganggapnya sesuatu yang serius. Keesokan paginya, selepas menghisap vape seperti biasa, dia mula batuk darah dalam jumlah kecil tetapi tidak mengendahkannya. Namun, beberapa jam kemudian, selepas minum minuman ringan dan berenang, keadaannya menjadi lebih teruk.
“Sebaik masuk ke dalam kolam renang, saya mula batuk darah dengan banyak dan terpaksa dikeluarkan dari air. Saya berlari ke tandas dan melihat darah keluar dalam jumlah yang menakutkan,” katanya.
Kejadian itu berlaku selama kira-kira 10 minit, menyebabkan dia panik dan trauma melihat darah yang banyak keluar dari mulutnya.
Doktor pada mulanya syak ulser perut
Selepas pulang ke United Kingdom, dia sekali lagi mengalami batuk berdarah dan segera mendapatkan rawatan di hospital. Pada mulanya, doktor mengesyaki dia mengalami ulser perut akibat pemakanan dan minuman sepanjang percutian. Malah, ibunya, Elita, turut menganggap perkara itu berpunca daripada makanan berminyak dan kebab yang sering dimakan Jayden di Turki.
Bagaimanapun, pemeriksaan awal menggunakan imbasan X-ray tidak menunjukkan sebarang masalah pada paru-parunya. Pemeriksaan lebih lanjut menerusi endoskopi akhirnya mendedahkan punca sebenar—kerosakan paru-paru yang teruk akibat penggunaan vape secara berlebihan.
Doktor terkejut dengan tahap kerosakan paru-paru
Menurut ibunya, doktor terkejut melihat keadaan paru-paru anaknya yang rosak teruk.
“Doktor kata mereka tidak pernah melihat paru-paru seorang remaja mengalami kerosakan seteruk ini. Ia sangat mengejutkan,” katanya.
Jayden kemudian diberi ubat dan memutuskan untuk berhenti menghisap vape. Pendarahan yang dialaminya juga berhenti dalam beberapa hari.
Namun, pada 10 Januari lalu, ketika menyambut hari lahirnya, dia mencuba vape semula. Akibatnya, dia mula batuk dan dapat merasakan darah akan keluar sekali lagi.
Menyesal dan berjanji tidak akan menggunakan vape lagi
Kini, Jayden masih mengalami kesakitan dan sedang menunggu imbasan CT untuk menilai tahap sebenar kerosakan paru-parunya. Dia juga berjanji tidak akan menyentuh vape lagi.
“Jika saya boleh kembali ke masa lalu ketika pertama kali mencuba vape, saya akan melarang diri sendiri. Ia sangat berbahaya dan boleh merosakkan tubuh badan tanpa kita sedari. Saya tidak akan menggunakannya lagi,” katanya. – Agensi