Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 17 tahun ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah selepas didapati positif dadah ketika pulang bercuti dari Thailand, semalam.
Memetik laporan Berita Harian, pelajar Tingkatan Lima dari sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang itu ditahan bersama tiga rakannya berusia 18 tahun ketika menunggang dua motosikal di lorong motosikal Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis ketamin. Remaja terbabit dipercayai berkongsi rokok mengandungi dadah itu bersama rakannya ketika berhibur di Thailand sejak Sabtu lalu.
Baca juga:
- ‘Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu’ – Sanusi
- ‘Laporan RCI Tabung Haji ditangguh demi elak rakyat hilang keyakinan’ – Anwar
- Hannah Yeoh ibaratkan kerjasama BN-PN seperti Titanic yang menunggu masa karam
Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, pelajar tersebut tinggal bersama datuk dan neneknya selepas ibu bapa bercerai sejak dia berusia sembilan tahun.
“Dia memberi alasan mengambil dadah kerana tekanan hidup dan perasaan ingin mencuba. Malah, dia mengaku ini kali kedua mencuba selepas pertama kali ketika memasuki Thailand sebelum ini.
“Secara keseluruhan, enam remaja berusia 17 hingga 19 tahun ditahan, selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.








