Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
FIFA telah menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya berhubung kes pemalsuan dokumen, sekali gus mengekalkan keputusan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk bola sepak dunia itu.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, FIFA memaklumkan pihaknya telah meneliti dokumen rayuan dan mengadakan sesi pendengaran sebelum memutuskan untuk menolak semua rayuan yang dikemukakan.
Menurut FIFA, FAM dan tujuh pemain terbabit didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FIFA Disciplinary Code, FDC).
Susulan keputusan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) kepada FIFA, manakala tujuh pemain terbabit iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,000) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
“FAM dan pemain telah dimaklumkan mengenai keputusan ini dan mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bersebab. Selepas itu, mereka diberi 21 hari untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” kata kenyataan tersebut.
Keputusan itu sekali gus mengekalkan hukuman asal yang telah dijatuhkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum ini.
Baca juga:
- Warden MRSM Serting maut kemalangan ketika pulang dari bertugas
- Suspek rempuh polis ditahan kurang 24 jam, rupanya ada 20 rekod jenayah
- ‘Berani mereka kata nak ambil alih Pulau Pinang?’ – Teresa Kok
Reaksi FAM: Akan terus perjuangkan hak pemain dan bola sepak Malaysia
Dalam kenyataan susulan, Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi berhubung penolakan rayuan tersebut daripada FIFA.
“FAM akan menulis kepada FIFA untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan itu sebelum mengambil langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS),” katanya.
Menurutnya lagi, keputusan tersebut mengejutkan pihak pengurusan dan barisan peguam kerana ini merupakan kali pertama FAM berdepan situasi seperti itu.
“Walau apa pun, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa,” tegasnya.








