Pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang lalu, seorang breakdancer Australia, Raygun, tular di media sosial kerana tariannya yang mencuri perhatian warga maya.
Walaupun prestasi Raygun atau nama sebenarnya, Rachael Gun, di Olimpik Paris tidak mendapat sebarang mata ganjaran dari para hakim, dia kini berada di kedudukan nombor satu dalam dunia breakdancing oleh badan penguasa sukan, World DanceSport Federation.
Raygun yang juga dikenali sebagai B-Girl Raygun, menduduki tangga pertama dalam senarai ranking dunia yang dikeluarkan oleh World DanceSport Federation.
Ramai yang mengakui bingung dengan keputusan tersebut, sedangkan Raygun tidak mendapat sebarang mata ganjaran ketika bertanding di Olimpik Paris.
Namun, perlu dijelaskan bahawa ranking tersebut dikemaskini berdasarkan empat persembahan terbaik setiap atlet dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Mata ganjaran yang diperoleh dalam pertandingan adalah sah selama 52 minggu dari tarikh persembahan.
Olimpik Paris dan sesi kelayakan Olimpik di Shanghai, China dan Budapest, Hungary dikatakan tidak menyumbang kepada ranking ini.
Jelas World DanceSport Federation, keputusan ranking hanya akan berubah apabila mata ganjaran tamat tempoh dan selepas siri Breaking for Gold World Series yang akan berlangsung pada Oktober ini.
World DanceSport Federation menegaskan, komitmen mereka terhadap ketelusan dan keadilan dalam proses ranking kompetitif. Jadi, walaupun prestasi Raygun di Olimpik Paris tidak memberansangkan, dia kini memegang gelaran nombor satu dalam dunia breakdancing. – Agensi