Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Rakyat di negara ini nampaknya kurang berminat terhadap projek perumahan yang dijual dengan harga melebihi RM500,000.
Menurut analisis yang dibuat oleh Clement Chua dari Kenanga Research, ini dapat dilihat dari statistik yang menunjukkan 57% dari projek perumahan baru yang dilancarkan pada suku ketiga 2023 dijual dengan harga kurang dari RM500,000, seperti yang dilaporkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Selain itu, terdapat penurunan sebanyak 31% dalam jumlah unit perumahan yang dijual dengan harga antara RM500,000 hingga RM1 juta pada suku ketiga 2023 berbanding dengan suku yang sama pada tahun sebelumnya.
“Perkembangan ini menunjukkan peningkatan minat terhadap rumah mampu milik, sementara produk yang dijual dengan harga melebihi RM500,000 mungkin kurang diminati oleh pasaran,” katanya dalam nota penyelidikan beliau.
Chua menambah, untuk menyesuaikan diri dengan trend pasaran ini, pemaju perlu terus menawarkan pelbagai jenis produk. Tetapi dengan fokus yang lebih besar kepada rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan pembeli rumah pertama kali, yang didorong oleh pertumbuhan penduduk dan urbanisasi.
“Dengan peningkatan infrastruktur awam di Lembah Klang, pembangunan yang berorientasikan transit (TOD) boleh menjadi pilihan yang menarik bagi pembeli untuk mengurangkan beban perjalanan mereka ke tempat kerja,” kata Chua.
Sumber: Berita Harian