Selepas hampir dua minggu mencuri perhatian dengan kemunculannya secara mengejut, ‘Raja Penyu’ kembali mendarat di pesisir pantai Rantau Abang, awal pagi Ahad.
Kehadiran penyu gergasi itu sekali lagi membawa khabar menggembirakan apabila sebanyak 81 biji telur ditemui hasil pendaratan berkenaan.
Jabatan Perikanan Negeri Terengganu memaklumkan, penyu berkenaan mendarat pada kira-kira 4.45 pagi, dengan kesan rangkakkan sepanjang 2.20 meter.
Menurut jabatan itu, penyu berkenaan dipercayai merupakan penyu sama yang pernah mendarat pada 1 September lalu di perairan Marang, sekali gus menjadikan kemunculan terbaharu ini berlaku tepat selang 13 hari.
Kesemua 81 biji telur yang ditemui, dengan saiz purata kira-kira lima sentimeter, berjaya dipindahkan dengan selamat ke tapak penetasan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang.
Baca juga:
- ‘Pintu helikopter BO-105 memang boleh ditanggalkan’ – Isteri Kapten Zainol Afiq
- Raja Penyu kembali mendarat di Terengganu, kali ini hadiahkan’ 81 biji telur
- ‘Tuduhan anjing liar milik datuk Haira berat’- Malaysia Animal Association
Penemuan itu direkodkan oleh kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu, Mohd Saipulmizam Hamzah, bersama pemajak kawasan Rantau Abang, Mohd Salleh dan pemajak kawasan Jambu Bongkok, Mohd Amirudin Maznan.
Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menyifatkan kemunculan semula ‘Raja Penyu’ itu sebagai perkembangan positif dalam usaha pemuliharaan ekosistem laut.
“Semoga langkah kecil ini terus mekar memelihara khazanah samudera buat tatapan generasi akan datang,” katanya.
Rantau Abang sememangnya sinonim dengan penyu gergasi dan penemuan terbaharu ini turut mengimbau kembali kedudukannya sebagai antara kawasan penting persinggahan penyu pada suatu ketika dahulu.









