'Raja Bomoh' tawar bantuan untuk cari mangsa tanah jerlus di Masjid India | The Reporter

‘Raja Bomoh’ tawar bantuan untuk cari mangsa tanah jerlus di Masjid India

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Raja Bomoh atau nama sebenar, Ibrahim Mat Zin, kembali mencuri tumpuan dengan kehadirannya di lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Menurut Ibrahim, kedatangannya ke lokasi adalah untuk membantu pihak berkuasa mencari mangsa warganegara India bernama Vijayaletchumy, yang masih belum ditemui walaupun sudah memasuki hari keenam pencarian.

“Saya datang bukan sebab apa, saya lihat mereka dah berhari-hari jalankan usaha pencarian. Namun, tak jumpa. Jadi, saya mahu tolong pencarian ini dan gunakan kaedah tertentu sekiranya saya dibenarkan pihak berkuasa,” katanya.

Walaupun usaha Raja Bomoh ini mendapat perhatian, ia juga menimbulkan rasa malu di kalangan pengguna media sosial. Ramai yang merasa tindakannya itu tidak relevan dan memalukan.

Beberapa tahun lalu, Ibrahim juga menawarkan diri untuk mencari pesawat Malaysia Airlines, MH370, yang hilang pada 8 Mac 2014 dengan menggunakan ritual dan upacara yang bertentangan dengan agama dan hukum syarak. Bagaimanapun, Ibrahim tidak pernah berjaya menemui pesawat tersebut.

Ibrahim pada tahun 2017 mengaku bersalah atas pertuduhan menghina Islam. Dia juga memohon maaf kepada semua umat Islam di atas perbuatannya yang didakwa dilakukan mengikut arahan pihak tertentu, tetapi tidak mahu didedahkan kepada umum.

Related Posts