Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau daripada Jemaah Menteri yang akan berkuat kuasa 17 Jun 2025, selepas menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri.
Dalam kenyataan medianya, Rafizi berkata beliau akan mula menghabiskan baki cuti tahunan bermula hari ini sehingga 16 Jun 2025.
Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan kekalahannya dalam pemilihan PKR baru-baru ini yang menyebabkan beliau tidak lagi mempunyai mandat parti untuk meneruskan peranannya dalam kerajaan.
“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat,” katanya.
Rafizi turut menyatakan bahawa dalam sistem demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan perlu memberi laluan kepada yang menang. Beliau mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi atas kerjasama sepanjang tempoh beliau memegang jawatan tersebut.
Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan penjawat awam meneruskan program-program ekonomi yang telah dirancang, termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.
“RMK13 memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur di Kementerian Pendidikan. Saya berharap reformasi ini tetap dikekalkan walaupun saya tidak lagi berada dalam Jemaah Menteri,” tambahnya.
Mengakhiri kenyataannya, Rafizi menyeru agar rakyat dan pemimpin terus membuat keputusan jangka panjang demi masa depan negara walaupun ia sukar, demi mencapai ekonomi yang lebih kukuh dan negara berpendapatan tinggi.








