Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) membawa gelaran Datuk Seri.
Ahli Parlimen Pandan itu mendahului senarai 555 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-77 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, semalam.
Lima individu pula dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Summit Ascent Holding Limited Datuk Chua Ming Huat dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.
Selain itu, tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan turut dianugerahkan DPNS, iaitu Mustapha Nagoor, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim, dan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.
Pemegang Amanah Yayasan Munarah, S. Sheranjiv, pula dianugerahkan Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM), yang turut membawa gelaran Datuk.
Sementara itu, 25 penerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada 25 penerima termasuk Pengarah Peperangan Informasi Rejimen Semboyan Diraja Brigedier Jen Dr Adnan Ajis; Pengarah Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ayop Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri Juasseh Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan Ir Wan Hasnan Wan Musa.
Tuanku Muhriz turut berkenan mengurniakan Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) kepada 28 penerima, Darjah Tuanku Muhriz (DTM) (empat), Darjah Pekerti Terpilih (DPT) (25) dan Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) (73).
Dalam pada itu, tiga individu dikurniakan Setiawan Tuanku Muhriz (STM), Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) (130), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (227), Bentara Tuanku Muhriz (BTM) (19) dan Pingat Khidmat Lama (PKL) (14).
Sumber: Astro Awani








