Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Datuk Haris Embong dan syarikatnya Arisprop Holdings Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan produk sejuk beku, ‘Aris Burger’ memperoleh ganti rugi RM250,000 selepas menang dalam kes samannya terhadap pelakon, Rafidah Ibrahim, berhubung dakwaan enggan membayar hasil kerja selebriti itu, tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati hantaran kedua yang diterbitkan defendan di media sosial adalah fitnah, kerana perkataan yang digunakan defendan itu telah mendedahkan plantif-plaintif kepada kebencian, cemuhan atau penghinaan.
“Mahkamah mendapati hantaran tersebut membawa maksud syarikat berkenaan telah mengambil kesempatan ke atas defendan (Rafidah), dengan enggan membayar hasil kerja beliau yang ketika itu ketua pemasaran syarikat tersebut.
“Ayat defendan memberi gambaran kepada pembaca seolah-olah syarikat tersebut tidak beretika, perniagaan yang mengeksploitasikan atau menggunakan khidmat seseorang tanpa bayaran serta, tidak bermaruah dan perniagaan syarikat itu tidak berkat,” kata hakim itu.
John Lee berkata, defendan telah menggunakan perkataan yang merendahkan maruah kedua-dua plaintif di mata orang awam, serta mengajak pembaca untuk menjauhi dua plaintif itu.
Terdahulu, Haris mendakwa Rafidah yang juga pempengaruh media sosial telah menerbitkan dua hantaran tersebut di Facebook beliau pada 21 September 2021 dan 18 Oktober 2021.
Sumber: Sinar Harian