Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, Aisyah Nur Fadilah, ditemui mati dalam keadaan tragis di belakang almari di kediamannya di Jalan Panca Usaha, Lorong Wakaf 4, Palembang, Indonesia. Mangsa dipercayai diracun oleh kakak iparnya, Rika Amalia, 19, melalui jamu yang dicampur racun dalam kejadian pada Rabu, 18 Disember 2024.
Ketua Polis Daerah Palembang, Harryo Sugihartono, mengesahkan suspek telah ditahan dan sedang disiasat.
“Berdasarkan laporan awal bedah siasat, mangsa meninggal dunia bukan disebabkann luka fizikal, tetapi akibat bahan toksik yang terdapat di dalam badannya,” katanya.
Menurut saksi, kakak mangsa, Yulis Safitri mendakwa, Rika telah mencabar Aisyah untuk meminum jamu tersebut tanpa muntah, dan berjanji akan memberi ganjaran sebanyak Rp300,000 (RM82.70).
Malangnya, selepas meminum jamu itu, Aisyah tidak sedarkan diri dan meninggal dunia. Ketika ibu mangsa pulang ke rumah selepas mengaji, Rika berpura-pura tidak tahu keberadaan Aisyah.
Suspek mengaku melalui WhatsApp
Rika kemudian menghantar mesej WhatsApp panjang kepada suaminya, Yuda, memohon maaf atas kejadian tersebut. Dalam mesej itu, Rika mengaku racun itu diperolehi daripada rakannya yang menawarkan cabaran minuman beracun kepada 10 orang untuk mendapatkan ganjaran wang.
“Saya benar-benar tak tahu ia akan menjadi seperti ini. Saya panik selepas melihat keadaan Aisyah,” tulis Rika.
Dia juga mengaku cuba melarikan diri ke Lampung untuk mencari dalang di sebalik minuman beracun tersebut, tetapi berjaya ditangkap oleh pihak polis di sebuah penginapan di Palembang pada Khamis, 19 Disember 2024.
Motif dendam lama
Siasatan awal pihak polis mendapati, terdapat dendam lama antara Rika dan Aisyah yang pernah bertengkar mengenai telefon bimbit. Sebelum ini, Aisyah tidak berpuas hati kerana telefon bimbitnya dipantau oleh Rika, atas permintaan Yuda. Konflik kecil ini dipercayai menjadi punca utama suspek bertindak di luar batasan.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Yusuf, menyatakan rasa tidak percaya yang menantunya tergamak melakukan perbuatan kejam itu.
“Kami tidak pernah menyangka Rika yang tinggal hanya beberapa meter dari rumah kami, sanggup membunuh anak saya kerana isu remeh,” katanya.
Diceraikan dengan talak tiga
Selepas kejadian itu, Yuda terus menceraikan Rika dengan talak tiga kerana tidak dapat menerima tindakan kejam tersebut. Yuda dilaporkan sangat marah dan kecewa kerana adik kandungnya, Aisyah, menjadi mangsa. Kini, Yuda mengambil tanggungjawab penuh untuk menjaga bayi mereka yang baru berusia tiga bulan. – Agensi