Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
MADANI, sebuah gagasan yang digerakkan oleh YAB Perdana Menteri, membawa visi pembangunan negara berteraskan nilai keadilan, kemampanan dan kesejahteraan rakyat.
Selari dengan prinsip ini, sebuah pembangunan bandar baharu dikenali sebagai Kota MADANI bakal dibina di Putrajaya sebagai simbol komitmen kerajaan dalam merealisasikan ruang hidup yang progresif
Kota MADANI, sebuah pembangunan bandar baharu berkeluasan 102 ekar yang mengintegrasikan teknologi pintar dan prinsip kelestarian, bakal dibina sebagai sebahagian daripada pelan strategik jangka panjang Putrajaya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa berkongsi perkembangan penting ini menerusi ciapan di platform X hari ini, menyatakan pembangunan tersebut akan menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman secara vertikal berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk.
Menurut Dr. Zaliha, reka bentuk Kota MADANI akan menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI), prasarana digital berkecekapan tinggi serta sistem mobiliti hijau, menjadikan kawasan ini bandar rendah karbon yang menitikberatkan kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan awam.
“Ini merupakan pelaburan strategik jangka panjang yang merangka masa depan Putrajaya sebagai sebuah bandar contoh yang mendukung nilai-nilai MADANI dan selari dengan visi Bandar CHASE,” katanya.
Majlis pecah tanah dijadualkan berlangsung pada 26 Jun 2025, menandakan permulaan rasmi projek yang diharap dapat memperkenalkan konsep ruang bandar yang lebih manusiawi dan progresif.
Dr. Zaliha turut merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas keyakinan dan pandangan bernas dalam memperhalusi hala tuju strategik pembangunan ini, yang dijangka menjadi model pembaharuan ruang bandar di Malaysia.
Sumber : X Dr Zaliha Mustafa








