Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Majlis Daerah Cameron Highlands mengambil tindakan merobohkan salah satu pembinaan haram di Cameron Highlands iaitu Cameron Santorini.
Cameron Santorini baru-baru ini tular di media sosial kerana kecantikan dan pembuatan yang unik menarik perhatian ramai.
Dalam satu hantaran di Facebook, Majlis Daerah Cameron Highland menyatakan kesalahan pemilik lokasi berkenaan dilaksanakan atas kesalahan Seksyen 70 (1) Pembinaan Tanpa Kelulusan di bawah Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
“Majlis Daerah Cameron Highlands telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap salah satu pembinaan haram di Cameron Highlands iaitu Cameron Santorini pada hari ini.
“Operasi yang bermula sekitar pukul 9.00 pagi sehingga 11.30 pagi tersebut telah diketuai oleh Yang Dipertua MDCH, Tuan Azmil Hadid bin Maznan dan turut melibatkan kakitangan daripada MDCH serta jabatan/agensi daerah termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Cameron Highlands (PDTCH).
“Selain daripada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Kerja Raya Daerah Cameron Highlands (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad ( TNB) turut hadir dalam operasi berkenaan,” katanya.
Operasi berkenaan juga jelasnya sebagai peringatan kepada mana-mana pihak agar mematuhi prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Semoga tindakan penguatkuasaan ini dapat menjadi iktibar dan peringatan kepada mana-mana pihak yang berhasrat melaksanakan projek pembangunan agar mematuhi sepenuhnya prosedur dan peraturan berkaitan semasa yang berkuatkuasa,” katanya.
Sumber: Majlis Daerah Cameron Highland