Pura-pura telefon polis, punca Myvi dikejar sekumpulan remaja bermotosikal | The Reporter

Pura-pura telefon polis, punca Myvi dikejar sekumpulan remaja bermotosikal

Kereta Myvi hitam dikepung sekumpulan besar penunggang motosikal di lebuh raya waktu malam, insiden pura-pura telefon polis tular.
Detik cemas Myvi dikepung & ditendang selepas pemandu pura-pura telefon polis, tular di media sosial.

Taktik seorang pengawal keselamatan berpura-pura menghubungi polis tidak berjaya menakutkan sekumpulan penunggang motosikal yang kemudian bertindak menyerang kereta Myvi dipandunya di Plaza Tol Puchong Batu 13, awal pagi Ahad lalu.

Mangsa berusia 52 tahun itu pada mulanya memberhentikan kereta di bahu jalan sebelum keluar sambil memegang telefon, seolah-olah membuat panggilan.

Menurut laporan Kosmo! Online, salah seorang daripada kumpulan remaja terbabit kemudian bertanya sama ada mereka anggota polis, sekali gus menimbulkan suasana tegang.

Baca juga:

Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa segera masuk ke dalam kereta dan beredar. Namun kumpulan tersebut tidak berpuas hati lalu bertindak mengejar dan menendang kenderaan mangsa hingga mengalami kerosakan.

Rakaman insiden berdurasi seminit itu tular di media sosial, menimbulkan kecaman terhadap tindakan samseng jalanan tersebut.

Polis bertindak pantas

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, hasil laporan yang dibuat mangsa kira-kira jam 4 pagi, pihaknya telah menahan sembilan lelaki berusia antara 13 hingga 21 tahun di sekitar Puchong dan Shah Alam.

“Enam daripada mereka bawah umur. Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan semua suspek direman empat hari sehingga Jumaat. Polis turut merampas tiga buah motosikal,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 279 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu serta melakukan khianat, yang membawa hukuman penjara dan denda.

Related Posts