Pukul & paksa anak berjalan itik selama 4 jam tanpa henti, bapa dipenjara 8 bulan | The Reporter

Pukul & paksa anak berjalan itik selama 4 jam tanpa henti, bapa dipenjara 8 bulan

Gambar Hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas seorang lelaki atas empat pertuduhan. Tertuduh didapati menganiaya dua anak kandungnya dengan cara menyuruh mereka berjalan itik selama empat jam tanpa henti sambil dipukul menggunakan jaring yang diikat pada raket badminton.

Hakim, Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah, mengarahkan tertuduh yang merupakan seorang penganggur berusia 35 tahun itu menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 1 Jun lalu dan hukuman bagi setiap pertuduhan berjalan serentak.

Mengikut semua pertuduhan, bapa lima anak itu sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas dua anaknya iaitu remaja lelaki berusia 13 tahun dan remaja perempuan berusia 15 tahun didakwa dengan sengaja menganiaya mereka sehingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

Kesalahan dilakukan di unit kediaman PPR Kepong Utara

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepong Utara di sini, di antara jam 9 malam pada 30 Mei sehingga 1 Jun 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia mempunyai tanggungan lima anak selain menghidap sakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Mengikut fakta kes pada 30 Mei lalu, tertuduh dengan sengaja memukul kedua-dua kaki anak kandung lelakinya berusia 13 tahun menggunakan jaring yang dipasang pada sebatang raket badminton sekitar jam 9 malam hingga 12 malam.

Selain daripada itu, tertuduh turut melempang muka dan memukul bahagian badan remaja berkenaan pada tarikh dan waktu sama.

Anak perempuannya pula yang berusia 15 tahun turut dipukul dengan jaring raket badminton di muka pada 31 Mei lalu sekitar jam 3 hingga 5 petang.

Kecederaan emosi dan fizikal

Kedua-dua kesalahan itu menyebabkan kecederaan ke atas dua remaja berkenaan seperti mana di dalam laporan awal perubatan.

Tertuduh turut menyuruh dua remaja itu berjalan itik di dalam rumah tanpa henti dalam tempoh lama sehingga mungkin menyebabkan kecederaan emosi atau fizikal terhadap dua remaja itu di antara jam 1 pagi hingga 5 pagi pada 1 Jun lalu.

Sumber: Berita Harian

Related Posts