Protes jalanan yang tercetus di Indonesia sejak minggu lalu sudah mula meninggalkan jejak kepada ekonomi negara jiran itu. Walaupun angka rasmi menunjukkan kerosakan sekitar RM235 juta, pakar memberi amaran jumlah sebenar mungkin jauh lebih besar.
Kos ratusan juta ringgit itu datang daripada kerosakan infrastruktur seperti pengangkutan awam, bangunan awam dan kemudahan bandar. Namun bagi pemerhati ekonomi, angka ini hanyalah “harga tiket permulaan” kepada krisis yang lebih besar.
Baca juga:
- Gorila Kiyomasa tular, muka ‘overthinking’ lepas bergaduh dengan pasangan
- Selat Hormuz ditutup sepenuhnya susulan serangan AS
- Gempa 7.8 Magnitud: Video bangunan sekolah di Mindanao, Filipina runtuh tular
Dari mall kosong ke rupiah menjunam
Protes berlarutan bukan sekadar menutup jalan raya. Ia juga memadamkan nadi perdagangan harian. Pusat beli-belah di Jakarta, misalnya, melaporkan jualan jatuh separuh berbanding hari biasa. Kilang-kilang pula terpaksa menghentikan operasi kerana rantaian bekalan terganggu.
Di pasaran kewangan, pelabur asing sudah melepaskan pegangan bernilai puluhan juta ringgit. Rupiah menjunam ke paras 16,500 berbanding AS$1, memberi tekanan tambahan kepada kos import dan inflasi. Indeks saham utama Indonesia juga tidak terlepas, merosot lebih dua peratus hanya dalam beberapa hari.
Angka RM2 bilion jadi bayangan
Ahli ekonomi yang dihubungi media tempatan menganggarkan jika ketegangan ini berlarutan beberapa hari lagi, kerugian makro boleh menelan sehingga RM2.32 bilion. Angka itu merangkumi kerugian produktiviti, jualan runcit, sektor perkhidmatan dan modal asing yang lari keluar.
Bagi peniaga kecil, sehari tanpa pelanggan sudah pun dirasai sebagai malapetaka. Bagi kerajaan pula, setiap jam krisis bermakna keyakinan pelabur semakin terhakis.
Apa yang bermula sebagai bantahan terhadap elaun mewah wakil rakyat kini sedang berubah menjadi krisis keyakinan ekonomi. Dengan kerugian rasmi setakat ini berjumlah RM235 juta, bayangan angka RM2.32 bilion menjadi isyarat jelas bahawa Indonesia sedang berdepan cabaran yang jauh lebih mahal daripada kos membaiki bas atau bangunan yang rosak. – Agensi








