Harga makanan boleh naik 40% jika wajib guna tong ungu - Presma | The Reporter

Harga makanan boleh naik 40% jika wajib guna tong ungu – Presma

Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali bercakap mengenai isu tong gas industri di restoran
Datuk Jawahar Ali

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan merayu agar kerajaan menangguhkan penguatkuasaan penggunaan tong gas industri tanpa subsidi yang disasarkan kepada pengusaha makanan. Menurutnya, tindakan tergesa-gesa itu dikhuatiri melonjakkan harga makanan hingga 40 peratus.

Langkah penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang digerakkan menerusi Ops Gasak menimbulkan kegusaran dalam kalangan peniaga, terutama selepas tularnya video pendedahan dari KPDN Perak tentang penyalahgunaan tong gas bersubsidi.

Gambar hiasan | Sumber: Majoriti

Jawahar mengakui penggunaan tong gas LPG 14kg bersubsidi, meskipun untuk kegunaan domestik, telah lama menjadi pilihan ramai pengusaha kecil seperti penjaja burger dan restoran kerana harganya jauh lebih murah berbanding tong industri.

Menurutnya, tong bersubsidi sekitar RM25 manakala tong industri ungu mencecah RM70, tiga kali ganda lebih mahal. Jika diwajibkan guna tong industri, kenaikan harga makanan antara 30 hingga 40 peratus sukar dielakkan, sekaligus membebankan pengguna dan peniaga sendiri.

“Kalau kena pakai tong ungu itu, harga makanan pasti naik… Kami pun tak sampai hati nak naikkan harga, tapi kos memang tak masuk akal.

“Kami pun nak berniaga dengan berkat. Tapi kalau pelanggan marah sebab harga makanan mahal, kami tersepit,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Kenapa peniaga minta penangguhan hingga selepas PRU16?

Presma menjelaskan pelaksanaan dasar ini wajar ditangguhkan sekurang-kurangnya hingga selepas Pilihan Raya Umum ke-16. Mereka berharap kerajaan mempertimbang skim subsidi khas untuk sektor F&B sama ada subsidi penuh atau separa, contohnya harga khas RM35 untuk tong industri.

Beliau turut mengakui wujud ketirisan apabila tong subsidi disalah guna dan gas dipindahkan ke tong lain untuk dijual semula, tetapi menegaskan kebanyakan peniaga kecil hanya mahu ruang bernafas dan keadilan dalam dasar.

Ringkasan Berita:

• Presma rayu kerajaan tangguh penguatkuasaan tong gas industri hingga selepas PRU16
• Harga makanan dijangka naik 30–40% jika tong ungu diwajibkan
• Presma cadang subsidi khas atau harga tetap RM35 untuk sektor F&B

Related Posts