Presiden Iran, Masoud Pezeshkian telah mengisytiharkan penamatan perang selama 12 hari antara Iran dan Israel.
Pezeshkian mengumumkan perkara itu menerusi satu perutusan yang disiarkan secara nasional melalui agensi berita rasmi negara, Islamic Republic News Agency (IRNA).
“Hari ini, selepas penentangan heroik oleh bangsa besar kita, yang keteguhannya mencipta sejarah, kita menyaksikan termeterainya gencatan senjata dan tamatnya perang 12 hari dicetuskan akibat tindakan mencabar dan provokasi rejim Israel,” kata Pezeshkian.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan bahawa Israel dan Iran telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya selepas 12 hari konflik, dengan perjanjian tersebut akan dikuatkuasakan secara berperingkat dalam tempoh 24 jam.
Menurut Trump dalam satu kenyataan di platform Truth Social miliknya, Iran akan menghentikan operasi ketenteraannya terlebih dahulu, diikuti Israel 12 jam kemudian menandakan tamatnya perang secara rasmi.
Pengumuman gencatan senjata itu hadir selepas siri serangan balas sengit antara Israel dan Iran, yang mengakibatkan ratusan terkorban di Iran dan puluhan nyawa terkorban di Israel.
Trump mendakwa kedua-dua negara telah bersetuju untuk kekal “aman dan saling menghormati” sepanjang fasa pelaksanaan gencatan senjata tersebut.
Bagaimanapun, berlaku kekeliruan awal berhubung pengumuman itu apabila Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi menyatakan bahawa masih “belum ada sebarang perjanjian” mengenai gencatan senjata.
Beliau kemudiannya memberi bayangan bahawa Tehran mungkin akan menghentikan serangan sekiranya Israel menghentikan tindakan agresifnya.
Sumber: Sahara reporters








