Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 24 tahun ditahan polis Thailand dalam serbuan besar-besaran di bandar Sungai Golok, dipercayai terlibat sebagai pengedar dadah. Penahanan ini berlaku kurang dua bulan selepas enam rakyat Malaysia lain ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah di Thailand.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Jadsadavit Ingprapan, berkata serbuan tersebut dilakukan pada Isnin, kira-kira jam 6.40 petang waktu Malaysia, di sebuah premis di kawasan tersebut.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa berjaya merampas 1,943 pil Ekstasi, 1,510 tablet Eramin 5, serta serbuk dadah lain yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM120,000.
“Kami mahu memaklumkan mengenai kes tangkapan besar berkaitan dadah. Pada hari Isnin (30 Disember), pasukan Narkotik telah menahan seorang suspek yang merupakan warganegara Malaysia,” katanya.
Menurut Kolonel Jadsadavit, dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran penagih di Malaysia. Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan keterangan saksi, bukti, keputusan ujian dadah, serta rekod jenayah daripada Bahagian Pendaftaran Sejarah Jenayah di Sungai Golok.
Suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut di Mahkamah Wilayah Narathiwat.
Beliau turut menegaskan komitmen pihak polis untuk mengambil tindakan tegas tanpa diskriminasi terhadap pelaku kesalahan dadah.
“Setiap bulan, kami merekodkan sejumlah tangkapan melibatkan kes dadah dengan pelaku terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing,” tambahnya.
Sumber: New Straits Times








