Polis tahan pemandu lori, siasat ugutan terhadap Baby Shima | The Reporter

Polis tahan pemandu lori, siasat ugutan terhadap Baby Shima

polis siasat ugutan Baby Shima

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai mengeluarkan komen berbaur ugutan terhadap penyanyi terkenal, Baby Shima, telah ditahan polis di Kota Sentosa, Kuching, malam tadi. Suspek, yang bekerja sebagai pemandu lori, ditahan sekitar jam 9.15 malam, dan telefon pintar miliknya turut dirampas untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata siasatan awal mendapati komen tersebut dibuat oleh suspek di platform media sosial, dipercayai mengancam keselamatan Baby Shima ketika beliau berada di Sibu atas urusan kerja.

Pihak polis menerima laporan daripada Baby Shima, atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, pada malam Isnin lalu. Beliau mendakwa terbaca komen berbentuk ancaman di media sosial yang mengganggu ketenteramannya. Ketika itu, Baby Shima hadir sebagai artis jemputan untuk acara sambutan ambang tahun baru 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan media sosial.

Suspek telah dibawa ke Sibu untuk proses reman, yang dijangka dilakukan pada hari ini, 1 Januari 2025, di Mahkamah Sibu.

Zulkipli turut menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab ketika membuat komen atau hantaran di media sosial, bagi mengelakkan melampaui batas atau melanggar undang-undang.

Related Posts