Satu video tular di media sosial merakamkan insiden sekumpulan pelajar perempuan membuli seorang rakan mereka di sebuah tandas sekolah dipercayai terletak di Meru.
Menerusi rakaman berkenaan, mangsa dilihat dimarahi dan diberikan amaran sebelum dipukul di bahagian belakang badan serta pipi. Mangsa bagaimanapun tidak melawan, sebaliknya hanya menuruti arahan yang diberikan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan rakaman video yang dimuat naik ke platform Facebook.
“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku di tandas sekolah membabitkan pelajar perempuan dari sekolah sama.
“Punca kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.
Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan spekulasi atau andaian tidak berasas yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Inspektor Mohamad Izroy Kamarulzaman di talian 014-8183519 bagi membantu siasatan.








