Polis siasat status pernikahan ibu bapa bayi disimpan 2 minggu dalam peti sejuk hospital swasta | The Reporter

Polis siasat status pernikahan ibu bapa bayi disimpan 2 minggu dalam peti sejuk hospital swasta

status pernikahan ibu bapa bayi dalam peti sejuk
Sumber gambar: YouTube Berita Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Polis sedang menjalankan semakan dengan pihak jabatan agama Islam untuk mendapatkan pengesahan status pernikahan ibu bapa kepada jenazah bayi lelaki yang disimpan di dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang. Tindakan ini diambil untuk membantu siasatan lanjut mengenai kes tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata sehingga kini, pihaknya telah mengambil keterangan daripada lima individu, termasuk ibu bapa bayi, dua doktor, dan seorang rakan yang menghantar ibu bayi berkenaan ke hospital.

Terdahulu, media melaporkan bapa bayi tersebut, Safwan Roshdy, 22, meluahkan rasa terkilan kerana jenazah anaknya dikatakan ‘ditahan’ oleh pihak hospital selama hampir dua minggu.

Beliau mendakwa anak sulungnya itu, yang dinamakan Adham, meninggal dunia beberapa minit selepas dilahirkan dalam keadaan tidak sempurna.

Kisah ini menjadi perhatian selepas tular di media sosial. Jenazah bayi berkenaan dilaporkan disimpan dalam peti sejuk mayat kerana keluarga tidak mampu menjelaskan bil hospital. Perkara ini turut dikongsi oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official, melalui hantaran di Facebook, yang mengundang pelbagai reaksi netizen.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts