Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis Kelantan menjalankan siasatan berhubung insiden pengibaran bendera Israel semasa Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949, meskipun difahamkan ia hanya sebagai gimik persembahan semula insiden yang menimpa sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).
“Sebarang lambang kebangsaan tanpa kelulusan, termasuk bendera Israel, adalah menjadi kesalahan,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengibarkan bendera Israel dalam sebarang bentuk perhimpunan atau protes, walaupun dengan niat untuk mengecam tindakan rejim Zionis.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan salah faham serta kegusaran awam yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
Baca juga:
- Polis siasat pengibaran bendera Israel di Kelantan
- Pelajar perempuan trauma, empat remaja ditahan bantu siasatan kes gangguan seksual di Alor Gajah
- Graduan baru sepatutnya bergaji RM7,000–RM8,000, bukan RM2,000–RM3,000 – Bekas Gabenor Bank Negara
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memperlihatkan salah sebuah bot yang menyertai program solidariti tersebut mengibarkan bendera Israel, sekali gus mencetuskan kecaman orang ramai.
Namun, Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia (AMBM) menjelaskan bahawa tindakan itu sekadar gimik bagi menggambarkan semula kejadian sebenar yang dialami sukarelawan GSF ketika misi kemanusiaan ke Gaza.
Sumber: Sinar Harian