Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Alor Gajah dilapor mengalami trauma dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa gangguan seksual melibatkan beberapa pelajar lelaki di sekolah yang sama, awal bulan ini.
Insiden itu dikatakan berlaku di dalam sebuah bilik darjah dan tular selepas rakaman video berkaitan tersebar dalam kalangan pelajar lain.
Kejadian disedari selepas video tersebar
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku pada 2 Oktober lalu dan hanya terbongkar selepas video tidak senonoh berkenaan tersebar serta dimaklumkan kepada guru sebelum sampai ke pengetahuan ibu mangsa.
Wanita itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang berusia 15 tahun kembali ke kelas untuk mengambil bahan projek sekolah sebelum didatangi beberapa pelajar senior. Siasatan awal mendapati rakaman kejadian dibuat menggunakan telefon bimbit salah seorang suspek.
Baca juga:
- Ucapan anak Allahyarham Dr Aiman sentuh hati ramai
- PN ucap tahniah kepada Vijay, puji kemenangan TVK di Tamil Nadu
- ‘Type M, C dan I bukan lagi gurauan, tapi kemarahan tersirat’ – Zahid Hamidi
Polis tahan empat remaja lelaki
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan memaklumkan empat pelajar lelaki berusia 17 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kesemua mereka direman enam hari hingga 16 Oktober bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
Mangsa diberi rawatan dan kaunseling
Mangsa kini dirujuk ke Hospital Melaka bagi menjalani pemeriksaan serta sesi kaunseling susulan trauma dialami.
Pihak sekolah turut bekerjasama dengan polis dan Jabatan Pendidikan bagi memastikan kebajikan mangsa terjamin serta mengelakkan sebarang gangguan lanjut.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi atau menyebarkan video berkenaan kerana ia boleh menjejaskan siasatan dan melanggar undang-undang berkaitan privasi mangsa bawah umur.
Sumber: Sinar Harian








