Polis siasat kes lelaki bukan Muslim ditampar kerana makan di bulan Ramadan | The Reporter

Polis siasat kes lelaki bukan Muslim ditampar kerana makan di bulan Ramadan

Tangkapan skrin video mengenai kes lelaki bukan Muslim ditampar kerana makan di bulan Ramadan.
Foto dari video kejadian yang sedang tular di media sosial

Polis sedang menyiasat insiden seorang lelaki bukan Muslim yang mendakwa ditampar oleh seorang warga emas di sebuah kedai serbaneka di pusat beli-belah di Johor Bahru hanya kerana makan pada siang hari dalam bulan Ramadan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 21 tahun pada jam 9.08 malam semalam.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 3.45 petang semalam. Pengadu mendakwa dia ditampar dua kali pada pipi kanan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila lelaki tersebut bertanya tentang agamanya dan meminta melihat MyKad, tetapi pengadu enggan memberikannya,” katanya memetik laporan Bernama, Isnin, 17 Mac 2025.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.

Related Posts