Satu majlis makan-makan yang dipercayai melibatkan hampir 100 individu di sebuah banglo di Jalan Kemumin, diserbu polis sekitar jam 1 pagi pertengahan bulan lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dibuat hasil risikan dan maklumat awam, namun ketika pihak berkuasa tiba, sebahagian besar sudah meninggalkan lokasi.
“Hanya 20 lelaki berjaya ditahan. Kita turut merampas ratusan kondom dan ubat HIV. Kami percaya pertemuan itu ada kaitan dengan hubungan terlarang berdasarkan penemuan tersebut, walaupun aktiviti berkenaan masih belum sempat dilakukan,” katanya.
Baca juga:
- Caprice diarah bayar ganti rugi RM220,000 kepada Ebit Lew serta-merta
- Usia 81 tahun bukan penghalang, warga emas berjaya genggam PhD
- Tular video kekecohan di Desa Tun Razak, sembilan individu ditahan polis
Menurutnya, hasil soal siasat mendapati kesemua 20 individu itu mengaku sebagai penghidap HIV dan menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada sesiapa yang berminat.
“Daripada jumlah itu, tiga lelaki telah dituduh di mahkamah selepas kami menemui video hubungan terlarang sejenis dalam telefon bimbit mereka.
“Kesemua mereka adalah rakyat Kelantan dan mempunyai pekerjaan tetap. Difahamkan, jemputan ke majlis itu turut disebarkan melalui media sosial,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak polis akan mempergiatkan risikan bagi mengenal pasti sejauh mana seriusnya kewujudan aktiviti sebegini di Kelantan memandangkan ini adalah kes pertama seumpamanya dikesan di negeri itu.
Sumber: Berita Harian








