Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis mengesahkan wujudnya aktiviti mengorek tanah bagi kerja penggantian paip kumbahan di lokasi insiden letupan saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kerja berkenaan dilakukan kira-kira 30 meter dari pusat letupan dan membabitkan penggunaan dua jentera, termasuk satu jentera pengorek yang kini dikhuatiri terbenam dalam kawah sedalam lapan meter akibat letupan tersebut.
“Polis telah mengenal pasti semua pihak yang terbabit iaitu pemaju, kontraktor, subkontraktor dan pekerja, dan siasatan kini dijalankan di bawah kertas siasatan polis yang membolehkan kami memanggil mana-mana individu berkaitan,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Tambah beliau, kerja-kerja mengorek semula kawasan kawah untuk tujuan siasatan dan mengeluarkan jentera dijangka bermula pada 15 April ini dan mengambil masa kira-kira dua minggu.
- Tular video pelancong kecewa tak dimaklumkan beli burger daging lembu
- ‘Tun yang khianati UMNO’ – Akmal Saleh balas kenyataan Tun Mahathir
- Suami bermadu: Disangka bujang, lelaki dakwa ditipu ‘isteri’ sendiri
- ZUS Coffee buat laporan polis lindungi keselamatan & privasi Zurista
- Anwar terkejut dakwaan Khairy bakal kembali ke Kabinet
Tiada amaran kebocoran gas dikesan
Mengulas lanjut, Hussein berkata kerja korekan tersebut dihentikan sejak 30 Mac lalu namun pihaknya masih menyiasat sejauh mana kedalaman kerja itu dilakukan dan sama ada ia boleh menjadi punca kepada letupan tersebut.
“Pihak kami juga sedang menyiasat dakwaan terdapat kerja korekan yang berlaku pada hari pertama Aidilfitri. Kami dimaklumkan jengkaut terbabit mungkin dibawa keluar untuk kerja pembaikan, namun perkara itu akan diteliti,” katanya.
Sementara itu, siasatan awal mendapati tiada sebarang amaran kebocoran gas dikesan oleh sistem pemantauan milik Petronas sebelum kejadian berlaku, walaupun saluran paip gas yang terbakar itu telah beroperasi selama 30 tahun.
“Petronas maklumkan tiada tanda kebocoran direkodkan pada paip bawah tanah terbabit. Namun, kami tetap akan meneliti data daripada sistem mereka untuk pastikan tiada kemungkinan kebocoran berlaku tanpa dikesan,” jelasnya.
Tiga paip gas yang membawa bekalan dari Terengganu ke selatan, utara Semenanjung dan Thailand melalui laluan berkenaan, dan satu daripadanya dikesan pecah ketika kejadian hingga mencetuskan letupan besar.
Jelas Hussein, siasatan turut menumpukan kepada tiga elemen yang boleh menyebabkan letupan iaitu gas, oksigen dan percikan api. Sekiranya berlaku kebocoran tetapi tiada percikan, letupan tidak akan berlaku – justeru, faktor pencetus masih dalam siasatan.
Kerja menstabilkan tanah di kawasan kejadian juga sedang dijalankan sebagai langkah keselamatan.








