Program RXZ Member 7.0 yang bakal menghimpunkan ribuan peminat motosikal RXZ di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus pada 22 hingga 23 Ogos ini mendapat lampu hijau penuh daripada pihak polis.
Berbeza dengan kebimbangan yang tular di media sosial, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu memberi jaminan acara kali ini tidak akan diganggu dengan tindakan menyita motosikal.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, keutamaan pihaknya adalah memastikan keselamatan serta kelancaran perjalanan program.
Baca juga:
- ‘Siapa kata pejuang sumud tiada taring?’ – Syed Saddiq
- Presiden PTM nafi dakwaan tular isu salah guna kuasa, minta wang
- Kapal SS Free Gaza dan SS Liberty cipta sejarah tembusi sekatan Israel ke Gaza pada 2008
Laporan lama cetus salah faham
Beliau menjelaskan, khabar angin mengenai operasi sita berpunca daripada salah tafsir laporan media yang merujuk penganjuran edisi terdahulu, RXZ Member 6.0, apabila 15 motosikal disita kerana tidak mematuhi spesifikasi undang-undang jalan raya.
“Tiada sebarang kenyataan mengenai sitaan dikeluarkan semasa sidang media RXZ Member 7.0 pada 17 Ogos lalu,” katanya sambil menegaskan pihaknya mahu mengelakkan kekeliruan.
Peserta diingatkan jaga disiplin jalan raya
Walaupun polis tidak akan melaksanakan sebarang operasi “menahan pukat”, beliau mengingatkan peserta supaya kekal mematuhi undang-undang jalan raya.
“PDRM Terengganu komited membantu serta mempermudahkan kehadiran para peserta, selaras dengan cogan kata ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” tambahnya.
Sumber: Sinar Harian








