Seorang wanita hamil bersama anak perempuannya berusia dua tahun maut dalam kemalangan tragis di Kilometer 264 Lebuhraya Utara–Selatan arah selatan, berhampiran Terowong Menora, Ipoh pada Ahad lalu. Bayi dalam kandungannya turut disahkan meninggal dunia.
Kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang apabila kereta Perodua Bezza yang dinaiki wanita itu bersama suami dan anaknya hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke dalam longkang.
Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), namun disahkan meninggal dunia pada keesokan paginya di Unit Rawatan Rapi (ICU). Anak perempuannya pula meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan serius di kepala. Suaminya cedera di muka dan tangan.
Lebih menyayat hati, rakaman dashcam yang tular di media sosial menunjukkan mangsa wanita dipercayai digilis sebuah kenderaan lain selepas tercampak keluar dari kereta. Kenderaan terbabit bagaimanapun tidak berhenti dan terus meninggalkan lokasi kejadian.
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
- Azhar Ahmad, Nik Alif Aiman capai perdamaian, selesai salah faham secara baik
- ‘Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA
- Pemilik tanah benarkan komuniti Rohingya bina flat di Sungai Tekali
Susulan penularan video itu, polis kini sedang mengesan pemandu kenderaan berwarna merah yang dipercayai melanggar mangsa.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik PLUS bagi mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan tersebut.
“Pemandu itu mungkin tidak sempat mengelak, tapi siasatan lanjut sedang dijalankan. Kita harap dia tampil bantu siasatan,” katanya, memetik laporan Bernama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad meminta saksi awam atau individu yang mempunyai rakaman dashcam tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Faiz Abdul Khalim di talian 018-3728477.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau turut mengingatkan semua pemandu agar sentiasa berhati-hati terutama ketika melalui jalan berselekoh dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.








