Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sebuah video memaparkan seorang lelaki membawa anjing peliharaan jenis Poodle ke dalam sebuah restoran mamak halal di Segamat Baru, Johor, mencetuskan kemarahan netizen selepas ia mula tular di media sosial.
Kejadian yang berlaku pada 11 Mei lalu sekitar jam 12 tengah hari itu dirakam di Restoran Natasha Nasi Kandar Penang, memaparkan lelaki berkenaan duduk di meja makan sambil meletakkan anjing di atas kerusi pelanggan.
Tindakan itu dianggap tidak sensitif terhadap pelanggan beragama Islam dan mencetuskan perdebatan hangat mengenai isu kebersihan serta menghormati di tempat awam.
Difahamkan, pihak restoran telah mengambil tindakan pantas dengan membuang kerusi yang digunakan dalam kejadian tersebut. Polis turut menerima laporan berhubung kejadian itu dan kini sedang mengesan individu berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, siasatan dijalankan bersama Majlis Perbandaran Segamat (MPS) mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1970.
Di media sosial, rata-rata netizen menyelar tindakan lelaki itu yang disifatkan sebagai tidak menghormati sensitiviti agama.
“Tak salah nak bawa anjing keluar makan, tapi kenalah pilih tempat yang bersesuaian. Jangan sesuka hati masuk restoran halal,” tulis netizen.
Setakat ini, individu berkenaan masih belum berjaya dikesan. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222 atau hadir ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan.








