Polis Hat Yai nafi dakwaan layanan tidak adil terhadap penunggang Malaysia | The Reporter

Polis Hat Yai nafi dakwaan layanan tidak adil terhadap penunggang Malaysia

Polis trafik Hat Yai menjalankan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal Malaysia
Polis trafik Hat Yai menjalankan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal Malaysia. Gambar: Facebook Tok Singa

Polis trafik Hat Yai menafikan dakwaan bahawa pihaknya memberi layanan tidak adil atau menyasarkan penunggang motosikal Malaysia selepas isu saman terhadap sekumpulan pelancong negara itu tular di media sosial.

Kontroversi tercetus selepas seorang penunggang Malaysia mendakwa kumpulannya dikenakan saman ketika berada di Hat Yai dan kemudian menggesa rakyat Malaysia memboikot Thailand. Dakwaan berkenaan mendapat perhatian ramai di media sosial.

Menurut polis Hat Yai, kira-kira 17 motosikal Malaysia dikesan ketika melalui kawasan berhampiran Ibu Pejabat Polis Hat Yai. Beberapa motosikal didapati mempunyai lampu belakang berkelip yang diubah suai serta bunyi ekzos yang dipercayai melebihi had ditetapkan.

Polis kemudian mengekori kumpulan berkenaan sebelum menahan mereka di persimpangan Dam Bridge untuk pemeriksaan lanjut. Pemeriksaan melibatkan dokumen perjalanan, insurans wajib, lesen memandu serta kelengkapan motosikal.

Hasil pemeriksaan terhadap kesemua 17 motosikal itu, polis mendapati sembilan daripadanya mempunyai kesalahan lalu lintas. Sebanyak sembilan saman dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan 12,000 baht, berbeza daripada dakwaan di media sosial yang menyebut 15 saman berjumlah 15,000 baht.

Baca juga:

Pegawai Bahagian Trafik Polis Hat Yai, Sarjan Mejar Weerasak Phansalaiman menjelaskan pemeriksaan bunyi ekzos dilakukan menggunakan alat pengukur bunyi mengikut prosedur ditetapkan. Had bunyi turut bergantung kepada spesifikasi serta tahun pendaftaran motosikal.

Beliau berkata motosikal yang didaftarkan sebelum 2024 tertakluk kepada had maksimum 95 desibel, manakala motosikal yang didaftarkan mulai 1 Januari 2024 mempunyai had 90 desibel.

Veerasak turut menolak dakwaan bahawa kumpulan berkenaan dikenakan tindakan kerana mereka warga asing. Menurutnya, polis menjalankan penguatkuasaan mengikut undang-undang dan peraturan sama turut dikenakan terhadap pengguna jalan raya lain.

Beliau mengingatkan pelancong asing yang membawa kenderaan ke Thailand supaya memahami serta mematuhi peraturan lalu lintas negara itu. Pada masa sama, beliau mengakui pihak polis mengambil kira kemungkinan isu berkenaan memberi kesan kepada imej pelancongan Hat Yai.

Sumber: Thai PBS World

Related Posts