PN pilih solo di PRN Sabah, tak perlu artis atau cinta tiga penjuru | The Reporter

PN pilih solo di PRN Sabah, tak perlu artis atau cinta tiga penjuru

Seorang pemimpin politik sedang berucap di pentas Jelajah Rakyat sambil memegang mikrofon, dengan latar belakang kain rentang bertulis slogan acara.
Ronald Kiandee ketika berucap dalam Jelajah Rakyat PN, menegaskan pendirian parti untuk bertanding solo dalam PRN Sabah.
Ronald Kiandee cabar parti lawan supaya konsisten, bukan hanya lantang bila jauh dari Putrajaya

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perikatan Nasional (PN) berikrar untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal menjelang sambil menyindir pihak lawan yang dikatakan tidak konsisten dalam perjuangan mereka.

Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee tampil lantang mengkritik parti-parti tempatan yang mengaku mahu berdikari tetapi akhirnya tunduk kepada Perdana Menteri dan memilih jalan gabungan politik bercelaru yang disifatkan sebagai cinta tiga penjuru.

“Mula-mula semangat mahu solo, meletup dewan masa konvensyen. Tapi bila berjumpa PMX, tiba-tiba berubah. Akhirnya jadi gabungan celaru. Siapa untung? Yang di tengah-tengah,” katanya dalam majlis Jelajah Rakyat PN malam Jumaat.

Baca juga:

PN dakwa masih kuat di Sabah walaupun tanpa artis dan cabutan bertuah

Ronald menegaskan, walaupun PN kini pembangkang, mereka kekal kukuh di hati rakyat Sabah kerana tidak terlibat dalam politik lompat parti atau slogan kosong. Beliau juga mempertikai slogan ‘Sabah untuk Sabah’ yang menurutnya hanya diguna pakai bila sesuai dengan kepentingan parti.

“Kalau benar perjuangkan Sabah, kenapa masih banyak isu tak selesai? Kenapa lesen cari gali diserah kepada orang Malaya?” soalnya.

Beliau turut menyeru agar budaya melompat parti dihentikan segera kerana ia mencemarkan demokrasi dan mengganggu kestabilan politik negeri.

“Orang PN tetap setia. Walaupun tiada artis, tiada hadiah. Inilah tanda sokongan ikhlas rakyat,” ujarnya penuh yakin bahawa gelombang PN akan terus membesar menjelang PRN.

Ronald menegaskan hanya pendirian yang jelas dan berprinsip akan dihargai rakyat, bukan gabungan sementara yang lahir daripada ketakutan dan rundingan senyap.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts