‘Playing for Peace’: Trump terima jersi daripada Ronaldo | The Reporter

‘Playing for Peace’: Trump terima jersi daripada Ronaldo

Antonio Costa menyerahkan jersi Portugal bertandatangan Cristiano Ronaldo kepada Donald Trump di Sidang Kemuncak G7 di Kanada.
Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa menghadiahkan Presiden AS, Donald Trump jersi Portugal bertandatangan Cristiano Ronaldo bertulis “Playing for Peace”. Gambar: X Antonio Costa

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa mencuri tumpuan apabila menghadiahkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sehelai jersi bola sepak Portugal yang ditandatangani oleh legenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo.

Momen itu berlaku ketika sesi pertemuan tertutup sempena Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) yang berlangsung di Kananaskis, Alberta, Kanada pada Isnin.

Costa, yang merupakan bekas Perdana Menteri Portugal dan mula mengetuai Majlis Eropah sejak tahun 2024, tiba di lokasi sidang dengan membawa kejutan istimewa buat Trump iaitu sehelai jersi Portugal bernombor 7 yang ditandatangani oleh Ronaldo sendiri.

Beliau turut membacakan mesej yang tertulis pada jersi tersebut

“Kepada Presiden Donald J. Trump, bermain untuk Keamanan,” katanya.

Trump, 79, kelihatan teruja menerima hadiah itu dan memegang jersi tersebut dengan kedua-dua belah tangan sambil berkata: “Saya suka, bermain untuk keamanan.”

Cristiano Ronaldo, 40, merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam bola sepak antarabangsa lelaki dengan 138 gol, dan baru-baru ini mengetuai skuad Portugal menjuarai Liga Negara-Negara UEFA.

Penyerang kelab Al Nassr itu dijangka akan terus menyarung jersi kebangsaan apabila Portugal beraksi dalam Piala Dunia tahun hadapan yang akan dianjurkan bersama oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Related Posts